Sunday, June 7, 2009

Fakta-Keistimewaan Pokok Kelapa

Tulis sebuah karangan tentang “Keistimewaan Pokok Kelapa atau yang Dikenali Sebagai Pokok Serba Guna”.

Pokok kelapa atau dikenali sebagai “Pokok Serba Guna” banyak terdapat di tepi pantai di Malaysia. Pokok ini merupakan tumbuhan yang berbuah sepanjang tahun. Pokok kelapa juga memberikan sumber kewangan yang penting kepada negara.

Hampir setiap bahagian pokok kelapa boleh digunakan. Batang pokok kelapa yang panjang dan keras itu boleh dibuat titian. Sabut kelapa dapat digunakan untuk membuat tali dan berus. Tempurung kelapa dapat dijadikan tabung dan barang-barang hiasan.

Isi kelapa boleh digunakan untuk membuat kuih-muih yang sedap. Santannya diguna untuk memasak kari. Selain itu, minyak kelapa boleh digunakan untuk memasak, membuat sabun, dan manjerin.

Air kelapa ialah sejenis minuman yang boleh menyejukkan badan. Daun kelapa pula dapat dibuat atap. Selain itu, daun kelapa juga dapat dibuat sarung ketupat. Pelepah-pelepah boleh diikat untuk menjadi penyapu lidi.

Pokok kelapa memang mempunyai banyak kegunaan. Oleh itu, pokok kelapa dikenali sebagai pokok beraneka gunaan. Kerajaan patut menggalakkan penduduk kampung menanam pokok kelapa. Penanaman pokok kelapa bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan orang kampung, tetapi memberi peluang kepada orang kampung menubuhkan industri secara kecil-kecilan.

Saturday, June 6, 2009

Fakta-Tanggungjawab Seorang Anak Kepada Ibu Bapa

Tuliskan sebuah karangan tentang, ‘Tanggungjawab Seorang Anak kepada Ibu Bapa’.

Tanpa ibu bapa, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Mereka juga sanggup berkorban apa saja demi memastikan kita manjadi anak berguna. Persoalannya, apakah tanggungjawab anak terhadap ibu bapa?

Setiap ibu bapa ingin melihat anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, anak sepatutnya berusaha gigih bagi merealisasikan hasrat ibu bapa itu.

Selain itu, kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa sebenarnya tidak bernilai. Justeru, seseorang itu hendaklah berusaha menggembirakan ibu bapa sepanjang hayat tanpa sebarang alasan.

Menjelang usia tua, ibu bapa memerlukan perhatian dan kasih sayang. Jadi, inilah masanya seseorang anak melaksanakan tanggungjawab memelihara mereka sebagaimana mereka memelihara kita.

Sesungguhnya, segunung intan sekalipun tidak sama nilainya dengan jasa ibu bapa terhadap anak. Lantaran itu, tanggungjawab anak tidak berakhir setelah ibu bapa meninggal dunia, sebaliknya berterusan terutama berdoa semoga mereka beroleh kesejahteraan.

Kesimpulannya, huraian di atas menjelaskan bahawa anak bertanggungjawab memastikan kesejahteraan ibu bapa mereka. Dengan hal yang demikian, akan lahirlah sebuah keluarga yang bahagia dan masyarakat penyayang.

Friday, June 5, 2009

Fakta-Pentingnya Komputer Kepada Seorang Murid

Tuliskan sebuah karangan tentang ‘Pentingnya Komputer Kepada Seorang Murid’.

Pentingnya Komputer Kepada Seorang Murid

Mengapakah computer sangat penting kepada seorang murid? Sejauh manakah komputer dapat membantu murid meningkatkan mutu pembelajaran mereka?

Persoalan di atas bukan rahsia lagi, terutamanya kepada murid yang berjaya. Bagi mereka komputer ialah sebahagian daripada guru mereka. Mereka boleh menggunakan pelbagai perisian yang menarik bagi tujuan pembelajaran yang berkesan.

Sesuai dengan ungkapan ‘dunia di hujung jari’ murid boleh mendapatkan banyak maklumat dengan melayari internet di komputer. Maklumat terkini dan global ini dapat meningkatkan tahap kecekapan pembelajaran mereka.

Selain itu, komputer juga berfungsi sebagai alat untuk menyimpan maklumat. Seseorang murid dapat menyimpan banyak maklumat dalam komputer secara sistematik. Maklumat tersebut dapat murid gunakan dengan pantas apabila diperlukan.

Kecanggihan teknologi komputer turut membantu proses pembelajaran murid. Hal ini demikian, kerana sesuatu tugasan yang diberikan kepada murid dapat disiapkan dengan pantas dan menarik.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa komputer adalah alat teknologi yang mampu melahirkan murid yang hebat. Pastinya mereka berupaya bersaing dalam arus pendidikan bertaraf dunia.

151 patah perkataan

Thursday, June 4, 2009

Fakta-Faedah Membaca

Soalan 1 (kedah-2009)
Membaca memberi banyak faedah kepada kita. Tuliskan faedah-faedah membaca.

Membaca merupakan salah satu tabiat yang amat berfaedah. Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu, pemikiran kita sentiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.

Tabiat suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Perbendaharaan kata yang meluas baik dalam bahasa akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.

Di samping itu, tabiat suka membaca boleh menambah pengetahuan kita. Contohnya, jika kita sering membaca buku-buku berkaitan sains dan sejarah. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan sejarah boleh ditingkatkan dan sekali gus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.

Seterusnya, tabiat suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia dengan membaca.

Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai, “ membaca jambatan ilmu”.

Wednesday, June 3, 2009

Fakta-Faedah Membaca

Membaca mendatangkan banyak faedah. Tulis sebuah karangan tentang kelebihan tabiat suka membaca.

Membaca merupakan salah satu tabiat yang amat berfaedah. Mereka yang mempunyai tabiat ini dapat banyak kelebihan dan manfaat.

Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu, pemikiran kita sentiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.

Tabiat suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Misalnya, kita boleh membaca buku-buku cerita, novel dan majalah. Perbendaharaan kata yang meluas baik dalam bahasa Malaysia mahu pun bahasa Inggeris akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.

Di samping itu, tabiat suka membaca boleh menambah pengetahuan kita. Contohnya, jika kita sering membaca buku-buku berkaitan sains dan sejarah. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan sejarah boleh ditingkatkan dan sekali gus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.

Seterusnya, tabiat suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Membaca buku-buku pelajaran, majalah dan buku cerita amat bermanfaat kepada kita daripada membuang masa dengan bermain atau menonton televisyen sahaja. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia.

Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai, “ membaca jambatan ilmu”.

195 patah perkataan

Tuesday, June 2, 2009

Fakta-Kegunaan Air Kepada Manusia

Air sangat penting kepada manusia. Air juga diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Air boleh didapati dari pelbagai sumber seperti sungai, laut, telaga, mata air dan sebagainya.

Manusia menggunakan air untuk memasak, membasuh pakaian, mandi dan sebagainya. Air yang bersih bebas daripada kuman. Jadi, pastikan kita minum air yang telah dimasak supaya terhindar daripada penyakit.

Air juga diperlukan untuk pertanian. Pokok padi memerlukan air yang banyak untuk hidup. Para petani menggunakan air yang bersih untuk menyiram tanaman mereka. Haiwan ternakan juga memerlukan air untuk diminum. Tanpa air, manusia, tanaman dan haiwan ternakan akan mati.

Air juga digunakan untuk menggerakkan mesin dan jentera. Kebanyakan kilang menggunakan kuasa hidroelektrik yang dihasilkan melalui air. Jika berlaku kebakaran, air sangat diperlukan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Jadi, jelaslah bahawa air sangat penting kepada kita. Tanpa air, kehidupan manusia tidak sempurna.

Monday, June 1, 2009

Fakta-Faedah Menyimpan Wang

Faedah Menyimpan Wang

“Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.” Itulah pegangan orang yang pandai berjimat-cermat demi masa depan mereka. Wang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan wang kita dapat membeli apa sahaja yang diingini.

Oleh itu, kita hendaklah berjimat-cermat ketika menggunakan wang. Kita boleh menyimpanwang di dalam tabung, bank dan pejabat pos. Sungguhpun pada mulanya wang yang kita simpan itu sedikit, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi banyak. Dengan wang yang kita simpan itu, kita boleh menampung serba sedikit perbelanjaan sekolah seperti membeli buku-buku dan alat tulis.

Setiap hari ibu bapa membanting tulang mencari wang untuk menyekolahkan kita. Kita harus memikirkan betapa susahnya mereka mencari wang. Jadi, dengan menabung, mungkin suatu hari nanti kita dapat membantu pula ibu bapa kita.

Jika kita jatuh sakit atau ditimpa kemalangan, wang yang disimpan boleh digunakan pada saat-saat genting ini. Begitu juga jika kita ingin berniaga. Sudah tentu kita memerlukan modal yang banyak. Wang simpanan kita akan membantu kita menyenangkan perbelanjaan. Hari ini amat berbeza dengan zaman dahulu. Wang adalah segala-galanya untuk kita meneruskan hidup.

Kesimpulannya, tabiat menyimpan wang mempunyai banyak faedah. Tabiat ini haruslah ditanam sejak kecil lagi. Kata pepatah, “kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Friday, May 1, 2009

Dialog-Membincang tentang Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas

Pihak sekolah akan menganjurkan pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas. Sewaktu rehat kamu dan kawan kamu berbincang cara-cara mencantikkan kelas.

Harun : Firdaus, apa rancangan kamu tentang pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas kita?

Firdaus : Saya rasa kita patut menyediakan sebuah jadual bertugas yang baru dan lantik seorang ketua kebersihan bagi mengawasi semua kawan kita menjalankan tugas masing-masing setiap hari.

Muthu : Bukan itu saja, saya rasa kita patut bergotong-royong pada hari Sabtu ni bagi membersihkan semua sarang lelabah dan coretan dinding dan meja kita.

Harun : Bagus cadangan Muthu. Nanti kita bincang dalam kelas. Selain itu, kita patut mengadakan satu papan kenyataan bagi menghiasi dengannya lukisan yang cantik.

Firdaus : Bukan itu sahaja, kita patut menghiasi semula ruang bacaan yang kita adakan dulu. Bahan bacaan harus ditambah dan diganti baru.

(Riiiiiing.... Loceng telah berbunyi melambang waktu rehat telah berakhir)

Muthu : Mari kita balik ke kelas dulu. Kita bincang lepas sekolah nanti.

Wednesday, April 1, 2009

Catatan Harian-Perkhemahan Tahunan

Tuliskan sebuah catatan harian mengenai perkhemahan tahunan yang disertai oleh kamu.

5 APRIL
Bas tiba di sekilah pada pukul 3.40 petang. Kami memunggah barang-barang yang akan dibawa ke dalam perut bas. Bas bertolak pada pukul 4.10 petang setelah kerja itu selesai dan semua peserta telah menaiki bas.

Kami tiba di Kem Kuala Santap pada pukul 6.30 petang. Seharusnya perjalanan mengambil 45 minit sahaja tetapi oleh sebab jalan raya sesak akibat hujan lebat, perjalanan mencuri banyak masa.

Sebaik saja tiba, Cikgu Wan mengarahkan kami supaya memasang khemah. Bukan main sukarnya kerja-kerja ini kerana hujan dan cuaca semakin gelap.

Taklimat ringkas diadakan selepas khemah siap dipasang. Dalam taklimat itu, Cikgu Zaili menyatakan tujuan perkhemahan yang diadakan khusus bagi pengawas-pengawas itu. Kami juga diingatkan supaya tidak ke mana-mana tanpa kawan. Selain itu, kami juga dilarang bermulut celopar kerana kawasan hutan ini agak keras.

Kami tidur di dalam khemah selepas ceramah motivasi yang tamat pada pukul 11.00 malam.

6 APRIL
Selepas sarapan, kami berkumpul di depan khemah untuk aktiviti pertama iaitu senaman ringan yang dipimpin oleh Cikgu Azmi. Selepas itu, bermulalah acara yang paling mencabar iaitu mengharung sungai.

Kami dibahagiakan kepada 7 kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi 7 orang ahli. Air sungai sangat sejuk dan berbatu-batan. Perjalanan menjadi sangat lambat kerana di sesetengah tempat air sangat dalam. Lagipun ada di kalangan kami yang pengecut. Walau bagaimanapun kami berjaya mengharung sungai sejauh 3 kilometer itu dalam masa 3 jam.

Sebaik saja sampai di kem, makanan tengah hari telah tersedia. Kami makan dengan lahapnya kerana kelaparan. Selepas makan, kami menyertai kem motivasi sekali lagi sebelum bertolak pulang pada pukul 4 petang.

Tuesday, March 3, 2009

Biografi-Guru Yang Paling Dikagumi

Di sekolahku terdapat seorang guru yang saya kagumi. Nama beliau Cikgu Zabri Zabidi. Beliau berumur 34 tahun dan sudah pun berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.

Beliau berpengalaman mengajar selama 12 tahun. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains. Cikgu zabri merupakan guru kelas Tahun 6 Amanah dan juga mengajar di Tahun 5 Dedikasi.

Cikgu Zabri begitu disenangi oleh guru-guru dan murid-murid yang lain. Hal ini kerana sikapnya yang penyayang, mudah mesra dan baik hati. Beliau selalu mengambil berat tentang masalah murid-muridnya sama ada berkaitan pelajaran atau pun kebajikan mereka.

Selama berkhidmat di sekolah ini banyak jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh beliau. Antaranya setiap kali peperiksaan UPSR ramai anak muridnya yang berjaya mendapat 5A dan seterusnya mendapat pelajaran di sekolah sekolah dan terbukti berjaya apabila menjadi johan daerah selama 3 tahun berturut-turut.

Cikgu Zabri mempunyai hobi yang mendalam terhadap bidang komputer. Beliau sering menggunakan komputer ribanya apabila ada waktu terluang. Cikgu Zabri juga mempunyai kegemaran melukis. Banyak mural di sekolah yang telah dilukis oleh beliau.

Aku berhadap Cikgu Zabri akan terus mendidik anak bangsanya tanpa jemu. Aku juga berdoa beliau akan dalam hidupnya turut menyimpan hasrat untuk mengikut jejak langkah beliau pada suatu hari nanti.

Monday, March 2, 2009

Biografi-Guru yang saya kagumi

Professor Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dilahirkan di Jitra, Kedah pada 5 Mac 1940. beliau merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jitra, Kedah pada tahun 1946 sehingga 1949. pada tahun 1961, Profesor Dato’ Dr Asmah Haji Omar melanjutkan pelajaran di Universiti Indonesia dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan. Minatnya yang mendalam terhadap bidang bahasa menjadikan beliau wanita Melayu pertama yang mendapat ijazah Doktor Falsafah. Beliau mengambil ijazah tersebut di University of London dalam bidang Linguistik Am.

Pada tahun 1963, beliau memulakan tugas sebagai Penolong Pensyarah di Unversiti Malaya. Profesor Dato’ Dr. Asmah juga pernah memegang jawatan sebagai Profesor Linguistik Melayu di universiti yang sama mulai tahun 1995 sehingga tiga tahun kemudian.

Ketokohan Profesor Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam bidang bahasa tidak perlu dipertikaikan lagi. Jasa pakar bahasa ini terhadap pertumbuhan bahasa Melayu cukup banyak. Banyak karya-karya dihasilkan oleh beliau, antaranya Bahasa Diraja (1985), Peristilahan (1991) dan Nahu Melayu Mutakhir (1993).

Kepakaran beliau dalam bidang perancangan bahasa dan nahu bahasa Melayu menyebabkan beliau mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Sunday, March 1, 2009

Biografi-Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad

Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 20 Disember 1925. Beliau ialah anak bonus daripada sembilan orang adik-beradik. Bapanya bernama Mohamad Iskandar dan ibunya bernama Wan Tempawan.

Zaman persekolahannya bermula di Sekolah Melayu Seberang Perak dan Maktab Sultan Abdul Hamid. Beliau kemudiannya pelajarannya dalam bidang perubatan di Universiti Malaya pada tahun 1947.

Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula pada tahun 1964. Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu, menjadi Menteri Pendidikan, Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia, serta Timbalan Perdana Menteri.

Pada 18 Julai 1981, Doktor Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Banyak pembaharuan yang diwujudkannya seperti penerapan nilai-nilai Islam dan hubungan dua hala dengan negara-negara maju.

Wawasan 2020 ialah matlamat utama beliau untuk melihat bangsa Malaysia maju dan berkualiti. Cita-cita beliau ini dikagumi oleh negara-negara luar.

Sunday, February 1, 2009

Berita-Sempena Bulan Kemerdekaan

Sempena Bulan Kemerdekaan, sekolah kamu telah menganjurkan beberapa aktiviti yang menarik. Sebagai wartawan majalah sekolah, kamu dikehendaki menulis berita tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

RAWANG, Jumaat-Sekolah Kebangsaan Taman Desa telah menganjurkan sambutan Bulan Kemederkaan pada bulan Ogos lalu.

Tujuan Bulan Kemerdekaan ini diadakan adalah untuk menyemai sikap patriotik dalam kalangan murid-murid. Di samping itu, dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang sejarah kemerdekaan negara. Murid-murid juga dapat dipupuk amalan bersyukur dan menghargai kemajuan yang dicapai oleh negara.

Pada 15 Ogos, upacara perasmian sambutan bulan berkenaan telah dilakukan oleh Puan Guru Besar. Beliau mengingatkan murid-murid supaya berasa bersyukur dapat tinggal di negara yang aman. Kemudian persembahan deklamasi sajak dan koir bertemakan kemerdekaan.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bualan kemerdekaan ialah pertandingan pidota, pertandingan menulis esei, pertandingan menulis poster dan pameran sejarah kemerdekaan. Setiap kelas tahap dua telah menghantar peserta bagi pertandingan yang diadakan. Penyertaan murid-murid begitu menggalakkan terutama bagi pertandingan melukis poster dan menulis esei.

Pada acara penutup pada 16 September, Puan Guru Besar telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan. Hadiah yang disampaikan berupa trofi dan sijil penghargaan. Sebelum bersurai, semua murid diminta melaungkan kalimah “Merdeka” dengan penuh bersemangat.

Diharapkan melalui program sebegini, semangat sayang akan negara sentiasa subur dan berkekalan di jiwa setiap murid. Semangat patriotisme ini amat penting bagi murid-murid yang akan menjadi generasi pelapis negara.

Sunday, January 4, 2009

Autobiografi-Aku Sebatang Pen

Aku sebatang pen. Bentuk badanku bulat dan panjang. Nama aku ialah ‘Charlie’. Negara asal aku ialah Perancis. Aku dibawa masuk ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang.

Setibanya di Malaysia, aku dihantar ke sebuah kedai menjual alat-alat tulis. Ramai pelanggan yang datang melihat aku. Mereka memuji kecantikan badan aku. Tetapi tiada seorang pun yang mahu membeli aku. Barangkali kerana darahku yang berwarna merah.

Pada suatu hari, seorang wanita membelek aku. Wanita itu terus memberi aku setelah cuba menulis menggunakan darahku. Aku berasa gembira sekali. Setibanya di rumah, aku diletakkan di atas meja. Wanita itu mengeluarkan beberapa keping buku dari dalam lacinya. Rupa-rupanya tuan aku seorang guru. Aku digunakan untuk memeriksa buku murid-muridnya. Tiba-tiba, aku terlepas daripada tangannya kerana tuan aku terkejut apabila telefon berdering. Aku terjatuh ke lantai. Aku berasa sakit sekali.

Tuan aku tidak menghiraukan aku lalu menjawab telefonnya. Selepas selesai berborak, tuan aku mengambil aku untuk menyambung semula kerjanya. Tetapi apabila mataku menyentuh buku, sakitnya tidak terhingga. Rupa-rupanya badanku telah pecah dan darahku mengalir tidak berhenti. Tuan aku membebel keseorangan diri dan terus mencampak aku ke dalam tong sampah. Aku berasa sangat sedih kerana cuma berkhidmat dalam masa yang singkat sahaja.

Saturday, January 3, 2009

Autobiografi-Aku Sebuah Tandas

Aku sebuah tandas awam di tepi sebatang jalan raya di sebuah pekan. Aku berasa bangga kerana dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Aku memberikan khidmat untuk manusia membuang air kecil atau besar di tempat yang sesuai. Aku dijaga oleh seorang lelaki yang tua dengan penuh tanggungjawab. Lelaki tua itu selalu membersihkan diriku dan sentiasa memastikan aku sentiasa bersih.

Namum begitu, ada juga manusia yang suka mengganggu dan merosakkan aku. Kasihan juga aku melihat lelaki tua yang menjagaku akibat sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Badan aku diconteng dengan benda yang tajam seperti paku atau dawai. Ada juga yang membuang sampah di sekitarku sehingga menjadi busuk dan tidak indah.

Aku tetap menerima apa yang berlaku walaupun diganggu dan dirosakkan. Aku tetap menjalankan tanggungjawab kerana aku percaya setiap kebaikan yang diberi akan dibalas jua suatu hari nanti. Aku tetap akan berada di sini kerana aku percaya dapat membantu orang ramai terutamanya ketika kecemasan.

Friday, January 2, 2009

Autobiografi-Aku Sebuah Layang-layang

Layang layang adalah sejenis permainan tradisional yang digemari oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Biasanya layang-layang dimainkan semasa angin bertiup.

Aku ialah sebuah layang-layang diperbuat buluh dan kertas warna. Aku dimiliki oleh seorang budak yang bernama Beng Kong.

Pada suatu hari, angin bertiup agak kencang. Aku dibawa ke padang dan dinaikkan ke udara. Aku berasa sangat seronok kerana dapat terbang tinggi seperti burung sambil menikmati permandangan yang indah. Beng Kong berasa sangat bangga dengan aku.

Tiba-tiba angin bertiup terlalu kencang. Aku berasa sungguh takut dan cemas kerana aku terbang tidak tentu arah. Dengan tidak disangka-sangka, tali yang mengikatku terputus. Aku terus terbang melayang tidak tentu arah. Beng Kong tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit kesedihan.

Setelah lama melayang-layang, akhirnya aku tersangkut pada sebatang pokok yang sangat tinggi. Aku tidak dapat turun. Aku terpisah dengan tuan aku. Aku terbiar di situ sehingga kini. Badanku telah rosak dan koyak-rabak. Aku amat sedih dengan keadaan diriku.

Thursday, January 1, 2009

Autobiografi-Aku sebuah Jam

Aku sebuah jam. Mataku cuma bilah tajam penunjuk angka. Aku terpaksa melakukan pekerjaan ini dengan niat yang jujur dan hati yang ikhlas. Segala kesilapanku akan mendatangkan padah nasibku. Aku tetap ingin hidup sampai bila-bila, sampai melebihi usia dunia dan kehendak manusia. Aku hanya terpaksa memberanikan diri untuk hidup mendiamkan diri apabila manusia sudah lupa mengunci nyawa dan hatiku.

Sarafku terikat pada denyut nadi yang tersimpan di celah kuasa bateri dan elektrik.aku lebih senang hidup begini, menjadi penunjuk kepada manusia daripada mengikut telunjuk manusia. Aku boleh disembunyikan tetapi aku tidak dapat menyembunyikan dunia ini dengan nyanyian “ tik tok, tik tok, tik tok”.

Disiplin sentiasa mengajar aku berjalan dengan tertib, teratur, tepat dan sempurna. Sebagai makhluk kehidupan, keinginanku menjadi setia, menjadi teman kepada penghuni dunia. Meskipun kesilapanku cuma waktu yang terlanjur dan tidak tepat. Aku tetap aku yang tidak jemu-jemu memuntahkan denyut waktu di bumi ini.

Dunia semakin sesak. Aku diberi kepercayaan sepenuhnya oleh manusia. Namun, manusia yang susah benci akan kehidupan membentuk waktu yang membazir.