Sunday, January 4, 2009

Autobiografi-Aku Sebatang Pen

Aku sebatang pen. Bentuk badanku bulat dan panjang. Nama aku ialah ‘Charlie’. Negara asal aku ialah Perancis. Aku dibawa masuk ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang.

Setibanya di Malaysia, aku dihantar ke sebuah kedai menjual alat-alat tulis. Ramai pelanggan yang datang melihat aku. Mereka memuji kecantikan badan aku. Tetapi tiada seorang pun yang mahu membeli aku. Barangkali kerana darahku yang berwarna merah.

Pada suatu hari, seorang wanita membelek aku. Wanita itu terus memberi aku setelah cuba menulis menggunakan darahku. Aku berasa gembira sekali. Setibanya di rumah, aku diletakkan di atas meja. Wanita itu mengeluarkan beberapa keping buku dari dalam lacinya. Rupa-rupanya tuan aku seorang guru. Aku digunakan untuk memeriksa buku murid-muridnya. Tiba-tiba, aku terlepas daripada tangannya kerana tuan aku terkejut apabila telefon berdering. Aku terjatuh ke lantai. Aku berasa sakit sekali.

Tuan aku tidak menghiraukan aku lalu menjawab telefonnya. Selepas selesai berborak, tuan aku mengambil aku untuk menyambung semula kerjanya. Tetapi apabila mataku menyentuh buku, sakitnya tidak terhingga. Rupa-rupanya badanku telah pecah dan darahku mengalir tidak berhenti. Tuan aku membebel keseorangan diri dan terus mencampak aku ke dalam tong sampah. Aku berasa sangat sedih kerana cuma berkhidmat dalam masa yang singkat sahaja.

Saturday, January 3, 2009

Autobiografi-Aku Sebuah Tandas

Aku sebuah tandas awam di tepi sebatang jalan raya di sebuah pekan. Aku berasa bangga kerana dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Aku memberikan khidmat untuk manusia membuang air kecil atau besar di tempat yang sesuai. Aku dijaga oleh seorang lelaki yang tua dengan penuh tanggungjawab. Lelaki tua itu selalu membersihkan diriku dan sentiasa memastikan aku sentiasa bersih.

Namum begitu, ada juga manusia yang suka mengganggu dan merosakkan aku. Kasihan juga aku melihat lelaki tua yang menjagaku akibat sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Badan aku diconteng dengan benda yang tajam seperti paku atau dawai. Ada juga yang membuang sampah di sekitarku sehingga menjadi busuk dan tidak indah.

Aku tetap menerima apa yang berlaku walaupun diganggu dan dirosakkan. Aku tetap menjalankan tanggungjawab kerana aku percaya setiap kebaikan yang diberi akan dibalas jua suatu hari nanti. Aku tetap akan berada di sini kerana aku percaya dapat membantu orang ramai terutamanya ketika kecemasan.

Friday, January 2, 2009

Autobiografi-Aku Sebuah Layang-layang

Layang layang adalah sejenis permainan tradisional yang digemari oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Biasanya layang-layang dimainkan semasa angin bertiup.

Aku ialah sebuah layang-layang diperbuat buluh dan kertas warna. Aku dimiliki oleh seorang budak yang bernama Beng Kong.

Pada suatu hari, angin bertiup agak kencang. Aku dibawa ke padang dan dinaikkan ke udara. Aku berasa sangat seronok kerana dapat terbang tinggi seperti burung sambil menikmati permandangan yang indah. Beng Kong berasa sangat bangga dengan aku.

Tiba-tiba angin bertiup terlalu kencang. Aku berasa sungguh takut dan cemas kerana aku terbang tidak tentu arah. Dengan tidak disangka-sangka, tali yang mengikatku terputus. Aku terus terbang melayang tidak tentu arah. Beng Kong tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit kesedihan.

Setelah lama melayang-layang, akhirnya aku tersangkut pada sebatang pokok yang sangat tinggi. Aku tidak dapat turun. Aku terpisah dengan tuan aku. Aku terbiar di situ sehingga kini. Badanku telah rosak dan koyak-rabak. Aku amat sedih dengan keadaan diriku.

Thursday, January 1, 2009

Autobiografi-Aku sebuah Jam

Aku sebuah jam. Mataku cuma bilah tajam penunjuk angka. Aku terpaksa melakukan pekerjaan ini dengan niat yang jujur dan hati yang ikhlas. Segala kesilapanku akan mendatangkan padah nasibku. Aku tetap ingin hidup sampai bila-bila, sampai melebihi usia dunia dan kehendak manusia. Aku hanya terpaksa memberanikan diri untuk hidup mendiamkan diri apabila manusia sudah lupa mengunci nyawa dan hatiku.

Sarafku terikat pada denyut nadi yang tersimpan di celah kuasa bateri dan elektrik.aku lebih senang hidup begini, menjadi penunjuk kepada manusia daripada mengikut telunjuk manusia. Aku boleh disembunyikan tetapi aku tidak dapat menyembunyikan dunia ini dengan nyanyian “ tik tok, tik tok, tik tok”.

Disiplin sentiasa mengajar aku berjalan dengan tertib, teratur, tepat dan sempurna. Sebagai makhluk kehidupan, keinginanku menjadi setia, menjadi teman kepada penghuni dunia. Meskipun kesilapanku cuma waktu yang terlanjur dan tidak tepat. Aku tetap aku yang tidak jemu-jemu memuntahkan denyut waktu di bumi ini.

Dunia semakin sesak. Aku diberi kepercayaan sepenuhnya oleh manusia. Namun, manusia yang susah benci akan kehidupan membentuk waktu yang membazir.